Tuesday 18 February 2014

Jana Pendapatan Melalui Sistem Solar

Angkasa: Jana pendapatan melalui sistem solar

 
 
ABDUL Fattah Abdullah (kanan) dan Aw Kim Fatt (dua, kiri) menunjukkan solar yang digunakan oleh pejabat Koperasi Buddhisme Malaysia Berhad di Petaling Jaya, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR 12 Feb. - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memperkenalkan inisiatif terbaharu yang memberi peluang kepada ahli koperasi menjana pendapatan sampingan menerusi projek tenaga solar.
Menurut Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, projek tenaga solar melalui sistem fotovoltik itu dapat menjana tenaga elektrik dan memberi pulangan lumayan untuk jangka panjang.
"Sejurus mendapat kelulusan daripada Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia), tenaga elektrik yang dijana melalui alat yang dipasang di premis ahli itu akan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai pemegang lesen pengagihan.
"Setiap kilowatt tenaga dapat dijual pada harga RM 1.20 dan ahli boleh mendapat keuntungan sehingga RM600 sebulan menerusi kontrak penjualan selama 21 tahun,"katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Koperasi Buddhisme Malaysia Berhad (Kobud) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum; Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa dan Pengerusi Kobud, Aw Kim Fatt.
Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata, tahun ini Kopsya telah memperuntukkan dana sebanyak RM70 juta untuk membiayai pelbagai usaha termasuklah ahli koperasi yang berminat melaksanakan projek tenaga solar tersebut.
"Projek pilot tenaga solar yang kita jalankan di Kobud menerusi dana RM150,000 daripada Kopsya ini telah menampakkan hasil yang begitu memberangsangkan dan setakat ini sahaja sudah ada 30 buah rumah ahli yang menunggu untuk mendapatkan kelulusan, justeru saya amat berharap lebih ramai lagi yang akan menyertai projek ini.
"Kami juga sedang dalam rangka mewujudkan perkongsian pintar bersama pembekal bagi mendapatkan alatan yang berkualiti pada harga yang berpatutan dan akan berunding dengan SEDA Malaysia supaya memberikan kuota yang lebih besar kepada koperasi untuk menyertai projek yang turut dapat melindungi alam sekitar ini," ujarnya

No comments:

Post a Comment