Tuesday 18 February 2014

Kumpulan Melaka akan bina Ladang Solar kedua tahun ini

 
MELAKA,(Bernama) -- Selepas membuka ladang solar pertamanya di
negeri ini, Kumpulan Melaka Bhd merancang melabur kira-kira RM20 juta untuk
membina dan mengendali ladang solar keduanya di Melaka tahun ini.
Langkah itu selaras dengan misi kumpulan itu untuk merubah Melaka Bandaraya
Bersejarah kepada bandar raya teknologi hijau menjelang 2020.
Pengurus Teknikalnya, KhairulEzuan Harun berkata, ladang solar baharu itu
dijangka mempunyai dua megawatt (MWp) solar fotovoltan (PV) meliputi 2.8
hektar.
Lembah solar itu akan menggunakan tenaga solar sebagai aktiviti alternatif
utama untuk semua sektor, merangkumi pembangunan tanah, penyelidikan, inovasi
dan pengkomersilan, katanya.
"Bagaimanapun, projek ladang solar itu juga tertakluk kepada kuota Pihak
Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) kerana ia memerlukan lebih banyak
dana," katanya kepada Bernama semasa lawatan ke Lembah Solar Dunia di Rembia, di
sini.
SEDA akan menetapkan kuota jumlah sistem tenaga solar yang boleh dipasang
setiap enam bulan.
KhairulEzuan berkata, SEDA belum lagi menyatakan bila kuota akan diumumkan,
tetapi sebaik sahaja diperoleh, kumpulan itu akan meneruskan projek berkenaan.
Aplikasi untuk solar PV diluluskan oleh SEDA yang mengawal selia semua
kemudahan tenaga boleh baharu, katanya.
Semua tenaga dihasilkan di ladang solar itu akan dijual kepada Tenaga
Nasional Bhd dan elektrik akan disalurkan terus ke grid tenaga negara.
Akhir tahun lalu, kerajaan negeri Melaka melancarkan ladang solar pertama
miliknya 5MWp PV bernilai RM46 juta.
Ladang solar yang dibina di atas tapak seluas 7.2 hektar di Taman Industri
Rembia itu adalah satu daripada lima projek utama bagi merealisasi hasrat Melaka
untuk muncul sebagai negeri dan bandar raya teknologi hijau menjelang 2020.
Taman itu dibangunkan dalam tiga fasa. Fasa pertama bagi menghasilkan 1.3MW
elektrik telah siap pada April tahun lalu, diikuti 1.22MW elektrik dalam fasa
kedua pada Mei tahun lalu dan fasa terakhir 2.48MW pada Ogos lalu.
Tenaga solar dan sumber tenaga boleh baharu menjadi agenda penting Program
Transformasi Ekonomi kerajaan untuk meningkatkan kapasiti tenaga solar negara
sehingga 1.25 gigawatt dan menjadikan negara ini hab pengeluar tenaga
solar kedua terbesar dunia menjelang 2020.
Ladang solar pertama di Melaka yang dijangka mewujudkan 45,000 pekerjaan
akan menyumbang RM118 juta kepada pendapatan negara kasar selama 21 tahun,
katanya

Jana Pendapatan Melalui Sistem Solar

Angkasa: Jana pendapatan melalui sistem solar

 
 
ABDUL Fattah Abdullah (kanan) dan Aw Kim Fatt (dua, kiri) menunjukkan solar yang digunakan oleh pejabat Koperasi Buddhisme Malaysia Berhad di Petaling Jaya, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR 12 Feb. - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memperkenalkan inisiatif terbaharu yang memberi peluang kepada ahli koperasi menjana pendapatan sampingan menerusi projek tenaga solar.
Menurut Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, projek tenaga solar melalui sistem fotovoltik itu dapat menjana tenaga elektrik dan memberi pulangan lumayan untuk jangka panjang.
"Sejurus mendapat kelulusan daripada Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia), tenaga elektrik yang dijana melalui alat yang dipasang di premis ahli itu akan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai pemegang lesen pengagihan.
"Setiap kilowatt tenaga dapat dijual pada harga RM 1.20 dan ahli boleh mendapat keuntungan sehingga RM600 sebulan menerusi kontrak penjualan selama 21 tahun,"katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Koperasi Buddhisme Malaysia Berhad (Kobud) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum; Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa dan Pengerusi Kobud, Aw Kim Fatt.
Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata, tahun ini Kopsya telah memperuntukkan dana sebanyak RM70 juta untuk membiayai pelbagai usaha termasuklah ahli koperasi yang berminat melaksanakan projek tenaga solar tersebut.
"Projek pilot tenaga solar yang kita jalankan di Kobud menerusi dana RM150,000 daripada Kopsya ini telah menampakkan hasil yang begitu memberangsangkan dan setakat ini sahaja sudah ada 30 buah rumah ahli yang menunggu untuk mendapatkan kelulusan, justeru saya amat berharap lebih ramai lagi yang akan menyertai projek ini.
"Kami juga sedang dalam rangka mewujudkan perkongsian pintar bersama pembekal bagi mendapatkan alatan yang berkualiti pada harga yang berpatutan dan akan berunding dengan SEDA Malaysia supaya memberikan kuota yang lebih besar kepada koperasi untuk menyertai projek yang turut dapat melindungi alam sekitar ini," ujarnya