Timbalan Menteri Tenaga, Tek­nologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. James Dawos Mamit berkata, melalui jumlah projek Tarif Galakan yang diluluskan itu, Malaysia dapat mengelak pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 3.501 tan sehingga tahun 2018.
Katanya, jumlah tersebut terdiri daripada biogas sebanyak 76 permohonan, biojisim (27), hidro kecil (35), solar fotovolta (PV) individu (6,426), solar PV komuniti (275), solar PV bukan individu (405) dan geoterma (satu).
“Daripada jumlah yang diluluskan ini, sebanyak 5,500 permohonan dengan kapasiti terpasang sebanyak 338.17 MW telah mencapai tarikh operasi komersial,” katanya semasa berucap sempena acara balloting bagi kategori solar PV bukan individu dengan kapasiti 425 kW ke bawah di sini, kelmarin.
Secara keseluruhannya, seba­nyak 582 permohonan layak untuk proses balloting tersebut yang terdiri daripada tiga kategori iaitu sehingga 72 kW, 72 kW hingga 180 kW dan 180 kW hingga 425 kW.
Proses balloting tersebut dilakukan oleh Dawos untuk kuota pada 2016 dan Pengerusi SEDA, Datuk Dr. Yee Moh Chai untuk tahun 2017.
Dawos berkata, pembahagian kuota bagi kategori itu mendapat perhatian dalam kalangan pemain industri tenaga lestari di negara ini dan permohonan untuk kategori tersebut kekal memberangsangkan sejak dipraktiskan pada 2014.
“Tenaga boleh baharu merupakan antara cabang teknologi hijau dan ia memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran kerajaan untuk mengurangkan intensiti gas rumah hijau kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 40 peratus menjelang 2020,” katanya.
Beliau berkata, antara aktiviti yang telah dikenal pasti untuk mencapai sasaran itu ialah melaksanakan Skim Pemeteran Tenaga Bersih oleh SEDA dengan kuota 100 MW setahun yang bermula pada tahun ini akan diperuntukkan untuk menggalakkan penjanaan tenaga bersih menggunakan solar PV. – BERNAMA
“Melalui pengumuman ini, SEDA secara rasmi telah dilantik menjadi agensi pelaksana bagi membangunkan mekanisma skim Pemeteran Tenaga yang dijangka akan diumumkan pada tahun ini,” katanya. – BERNAMA